Sunday, August 15, 2010

Artis rock kapak mahu tubuh persatuan

Artis rock kapak mahu tubuh persatuan

Demi masa depan golongan artis rock kapak dan retro yang semakin tenggelam di negara ini, satu usaha menubuhkan persatuan harus dilaksanakan.

Vokalis Kumpulan Gamma, Rusli Mohd Sharif yang juga dikenali sebagai Blank Gamma berkata, sejak lebih 20 tahun lalu, keadaan artis terutama daripada segi ekonominya masih di tahap mendatar sehingga sekarang.

Malah katanya, ada antara nasib artis seangkatannya yang tidak terbela sepenuhnya, menyebabkan mereka berhasrat menubuhkan satu badan yang dapat memberikan sokongan dan membantu.

“Jika adapun persatuan artis seperti Papita, ia hanya memberikan fokus kepada semua artis. Sebab itu kita harap dapat menubuhkan persatuan khas untuk kami seperti dalam perbincangan.

“Kita jangkakan, jika persatuan ini berjaya ditubuhkan, kira-kira 52 artis daripada kumpulan rock bakal menyertainya di peringkat awal,” katanya.

Rusli yang juga Ketua Kampung Batu Arang berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui semasa program Karnival Perkongsian Pintar, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Batu Arang, di sini.

Turut sama dalam program dengan menyelitkan persembahan artis rock kapak, ialah Vokalis Kumpulan Melissa, Ustad Radzi; pemain drumnya, Ozy; ‘basist’, Ajax; pemain gitar utama Boy (Fareez).

Selain majlis tahlil untuk artis retro telah meninggal dunia, turut diadakan pada hari sama ialah mesyuarat khas penubuhan persatuan berkenaan.

Sementara itu, Fareez sekarang tinggal di Puncak Alam Shah Alam berkata, dengan adanya persatuan itu nanti diharap nasib artis rock kapak sejak 20 hingga 30 tahun lalu lebih terbela.

“Sekarang pun biarpun lagu kami sering berkumandang di corong radio, tetapi pulangan kami dapat tidak seberapa menyebabkan saya sendiri terpaksa berniaga nasi lemak dengan cara penghantaran mengikut tempahan.

“Saya percaya selagi usaha menubuhkan persatuan ini ikhlas, ia dapat membela nasib kami, seperti dengan melibatkan kami dalam setiap karnival atau program diadakan.

“Masing-masing akan datang ke tempat rakan artis ini untuk membantu membuat persembahan sebagai tanda sokongan. Di samping itu, jika artis ada mengeluarkan sesuatu produk kita pun boleh berniaga sama,” katanya.

Menurut Fareez dalam program diadakan seperti kali ini juga, peminat muda seawal umur belasan tahun juga mengenali mereka dan tahu menyanyikan lagu-lagu pernah dipopularkan kumpulan artis rock 90-an.

Sementara itu, Afee dari kumpulan U-Thopia yang popular dengan lagu seperti Maya Percintaan, Mithali Cintaku, Di sini Pasti juga menyokong penubuhan persatuan seperti dirancang.

“Bagus jika ditubuhkan kerana banyak artis umpama terbiar. Saya juga buat masa ini terpaksa berniaga menjual kereta bagi menambahkan pendapatan selepas 20 tahun sebagai penyanyi.

“Bagaimanapun alhamdulillah masih sempat menghasilkan album lagu baru, Demi Kebahagiaan,” katanya yang gembira dengan kejayaan lagu Terbangkitlah Cinta mendapat tempat pertama dalam carta radio KL FM minggu lalu.



54 kumpulan rock kapak dalam konsert

Sementara itu Presiden Uno-Malaysia Imagineers Sdn Bhd, Mazlan Hassim juga ditemui dalam program sama berkata, pihaknya bercadang mengumpulkan 54 kumpulan rock bagi menjayakan program di sebuah stesen televisyen tempatan.

Katanya, artis akan terlibat ini adalah dari kumpulan rock lewat 80-an dan 90-an bagi menjayakan 54 episod persembahan rancangan itu.

“Sekarang kami sedang menunggu lampu hijau stesen TV itu. Jika berjaya, mungkin ia dapat dijayakan dalam masa terdekat.

“Sekali gus saya percaya konsert ini dapat mengubat rindu peminat terhadap kumpulan rock kapak pujaan mereka,” katanya.

0 comments:

Post a Comment